Ketua jurulatih Perancis, Didier Deschamps, memberi amaran kepada pemain sayap, Ousmane Dembele, dan menuntut pemain itu memperbaiki sikap jika mahu terus bersama Barcelona.

Pemain berusia 21 tahun itu tidak bersama pasukan ketika Barca tewas 3-4 kepada Real Betis di Camp Nou, hujung minggu lalu.

Ketiadaannya menjadi tumpuan media Sepanyol dan Barca dilaporkan menggugurkannya kerana tidak berpuas hati dengan cara Dembele memberitahu pasukan ketika dia tidak sihat untuk berlatih, tiga hari sebelum itu.

Terdapat juga dakwaan yang menyatakan pemain itu kerap melanggar peraturan-peraturan kelab.

Di sebalik kepincangan pemain itu dalam saingan domestik, Deschamp tetap menyenaraikan Dembele menyertai barisan pemain yang akan berdepan Belanda dalam Liga Negara-Negara Eropah, Jumaat ini, selain berdepan Uruguay untuk aksi persahabatan, empat hari kemudian.

Pengendali juara Piala Dunia itu menyatakan beliau tidak terkejut jika Dembele lewat ke sesi latihan, namun memberi amaran buat pemainnya itu supaya mengubah sikap jika mahu karier yang baik dalam bola sepak.

"Saya belum berbincang dengan pihak Barcelona kerana tidak mahu mencampuri urusan dalaman kelab itu," katanya dalam sidang media.

"Mereka bertanggungjawab ke atas pemain mereka dan terpulanglah kepada mereka untuk menguruskan pemain mereka.

"Ousmane sudah lama bersama kami dan itu adalah helah yang biasa digunakannya ketika datang lewat.

"Saya pasti dia akan mengatakan bahawa bukan dia sahaja yang lewat ke latihan bagi mempertahankan tindakannya itu.

"Sama ada di Barcelona atau bersama kami di Perancis, dia perlu mengubah sikap itu.

"Itu adalah keperluan utama sebagai pemain bola sepak.

"Dia perlu mengubah sikap untuk tidak menjadi terlalu negatif.

"Lambat-laun dia pasti akan sedar tentang kesalahannya itu," tambahnya.