Sebagai juara Piala Dunia 2018, sudah pasti Perancis di bawah kendalian Didier Deschamps sekali lagi ingin melakar sejarah untuk menggekalkan kejuaraan mereka dalam temasya kali ini bagi menyamai rekod yang pernah di buat oleh Itali (1930/1934) dan Brazil (1958/1962) yang pernah menjuarainya dua kali berturut-turut.

Jika pemain-pemain Les Bleus dapat menggekalkan prestasi seperti sekarang, tidak mustahil mereka mampu melakukannya.

Lihat sahaja bagaimana persembahan mereka di peringkat kumpulan dan pusingan kedua yang ditampilkan mereka dan seterusnya layak ke peringkat suku akhir.

Kekuatan yang ada pada pasukan Les Bleus kali juga sama seperti semasa mereka menjuarai Piala Dunia 2018, di mana mereka menunjukkan semangat berpasukan yang tinggi dan keharmonian walaupun mereka agak sedikit tumpul daripada segi penyudah.

Berbeza dengan temasya kali ini, skuad kendalian Deschamps itu mempunyai barisan penyudah yang lebih mantap dengan ketajaman melakukan jaringan seperti penjaring terbanyak sepanjang zaman Perancis ketika ini, iaitu Olivier Giroud (52 gol), dan Kylian Mbappe, penjaring terbanyak Les Bleus di Piala Dunia ketika ini (5 gol).

Walaupun tewas di tangan Tunisia di peringkat kumpulan, ia tidak menjejaskan fokus pemain-pemain Perancis untuk mempertahankan kejuaraan Piala Dunia.

Namun, itu bukan tugas mudah apabila berhadapan dengan England di peringkat suku akhir kerana The Three Lions juga mempunyai skuad yang bagus.

Sudah tentu ini memberi cabaran kepada Deschamps dalam merencanakan formasi dan strategi bagi memastikan anak didiknya mampu melepasi benteng pertahanan England yang diketuai Harry Maguire, yang kini amat kental kerana baru melepaskan dua gol daripada empat perlawanan Piala Dunia.

Namun, jika Deschamps berjaya mengunakan kelebihan yang dimilki Les Bleus, terutama sikap tenang dan kreativiti anak didiknya, pasti Perancis boleh menewaskan The Three Lions.

Lihat sahaja bagaimana Adrien Rabiot dan Aurelien Tchougmen berjaya mengemudi bahagian midfield dengan baik sekali, apatah lagi dibantu dengan pemain sayap yang punya kepantasan dan ketajaman dalam melakukan penyudah seprri Mbappe dan Ousmane Dembele.

Jika kombinasi ini tidak berjaya disekat anak didik Gareth Southgate, pasti Les Bleus mampu membenam The Three Lions untuk ke separuh akhir.