Perak 3 UiTM 2

Masalah gaji tidak menyekat Perak FC untuk memungut tiga mata tetapi terpaksa bermandi peluh untuk menundukkan UiTM FC 3-2, sebentar tadi.


Selepas kemarau kemenangan dalam tiga perlawanan, The Bos Gaurus mencetuskan kegelisahan peminat sendiri di Stadium Perak apabila ketinggalan 0-2 pada 40 minit separuh masa pertama.

Benteng tuan rumah yang kehilangan ketua pasukan, Shahrul Saad, menyaksikan mereka sukar mengekang kelincahan penyerang import, Nana Poku, untuk meledak gol pertama menerusi sepakan penalti sebelum melepasi perangkap ofsaid.

Tetapi sentuhan klinikal Careca di depan gawang memberi harapan kebangkitan kepada Perak dengan mengikat kedudukan pada 1-2 menuju bilik persalinan.

Sebaik memperkemaskan permainan di pertengahan babak kedua, pintu gol UiTM mula menghadapi tekanan bertali arus.

Pemain naturalisasi negara, Guilherme De Paula, mengimbangi kedudukan dengan sepakan penalti pada minit ke-69 sebelum rakan senegaranya dari Brazil, Leandro Dos Santos, untuk gol kemenangan, lapan minit kemudian.


? KEDUDUKAN LIGA SUPER - LS7 #LigaSuper2021

Posted by Malaysian Football League on Wednesday, April 7, 2021


Sementara itu, kerancakan dalam separuh masa kedua memastikan empat gol terhasil ketika Petaling Jaya (PJ) FC dan Kuala Lumpur City terpaksa berpuas hati berakhir 2-2.

Dalam aksi di Stadium MPBJ itu, PJ City ternyata lebih lega apabila menyamakan kedudukan dalam masa kecederaan walaupun terlebih dahulu di depan dengan tiga gol diledakkan dalam tempoh tujuh minit.

Percubaan kaki kiri Mahali Jasuli mengundang Irfan Zakaria tertampan bola ke dalam pintu golnya pada minit ke-50.

Tetapi hanya tiga minit diperlukan barisan kendalian Bojan Hodak itu untuk melepasi benteng seteru jiran berkenaan dengan gerakan menarik sebelum disudahkan Paulo Josue disusuli sentuhan Hadin Azman yang merobek gawang lawan dari luar kotak penalti.

Begitupun, The City Boys tempang sebaik Nik Shahrul Azim Abdul Halim menerima kad kuning kedua selepas sejam permainan akibat mengasari larian pemain gantian, R Kogileswaran.

PJ City juga nyaris memberi Hadin -- yang meluru ke dalam kotak penalti -- ruang sebelum dia sempat menghayunkan kaki kirinya.

Anak buah P Maniam itu kemudian tidak terburu-buru ketika mengatur gerakan dalam masa kecederaan dan ia terbukti memberi impak apabila rembatan kencang Kogileswaran memastikan kedudukan 2-2, malah mereka cuba mendapatkan kemenangan sebelum wisel ditiupkan.


Keputusan Liga Perdana:

Johor Darul Ta'zim II 1 PDRM FC 0

Skuad Projek FAM-MSN 2 Kuching City 2


? KEDUDUKAN LIGA PREMIER - LP7 #LigaPremier2021

Posted by Malaysian Football League on Wednesday, April 7, 2021