Perak FC dijangka bebas daripada hukuman sekatan perpindahan pemain apabila Ketua Pegawai Eksekutif kelab, Yunus Zakaria, optimis untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji seperti yang sudah dipersetujui sebelum ini.

Dengan jumlah yang melebihi RM1 juta, kelab berkenaan akan mengotakan janji mereka bermula dengan pembayaran pertama pada 31 Disember ini dan perkembangan itu disahkan kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

"Kami dalam proses menjemput pemain yang masih memiliki tunggakan gaji bersama Perak," katanya.

"Kami akan memberikan pembayaran pertama bermula 31 Disember ini."

Terdahulu, Perak sudah dikenakan hukuman sekatan perpindahan pemain oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) susulan kegagalan menyelesaikan isu tunggakan gaji.

Ia sekaligus menyaksikan kelab berkenaan yang kini dimiliki oleh Impact Media & Communication Sdn Bhd turut berdepan risiko tidak boleh menandatangani pemain baru sama ada import atau tempatan menjelang musim baru Liga Malaysia.

Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam semalam setelah kelab berkenaan bersedia menyelesaikannya menerusi surat aku janji kepada Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dengan dua kali pembayaran.