CRYSTAL PALACE 1 ARSENAL 3

Mikel Arteta menyifatkan penampilan Arsenal dalam enam bulan terakhir sebagai "rentak yang luar biasa" selepas menundukkan Crystal Palace 3-1, awal pagi tadi, untuk mengekalkan harapan kelayakan mereka ke pentas Eropah.


Kemenangan West Ham di West Brom bermakna The Gunners mampu menamatkan kedudukan tertinggi di tangga ketujuh sekiranya mengalahkan Brighton & Hove Albion pada hari terakhir musim ini sementara Tottenham dan Everton gagal mencapai kemenangan.

Mereka berpeluang menjamin tiket ke pusingan play-off Liga Persidangan Europa memandangkan West Ham sudah menafikan Arsenal untuk menyertai dua saingan utama Eropah itu buat pertama kalinya sejak 1995-96.

Begitupun, Arteta mengungkit bahawa tujuh perlawanan tanpa kemenangan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) pada hujung tahun lalu sebagai titik tolak kepada kedudukan mereka ketika ini.

"Pada November atau Desember lalu, sekiranya ada yang mengatakan kepada kami bahawa kami dalam posisi untuk layak ke Eropah, maka kami akan mengatakan bahawa anda gila," kata pengurus kelab London itu.

"Tetapi kami masih berjaya melakukannya.

"Saya rasa dengan keputusan dan jumlah mata yang kami kutip dalam beberapa bulan ini, kami memang berhak untuk di posisi ini. Sekarang sudah tiba masanya untuk kami mencapainya pada hari terakhir tetapi malangnya, ia bukan di dalam genggaman kami."

Arteta memuji Nicolas Pepe atas perananya dalam kemenangan di Selhurst Park selain membantu menghidupkan kembali perjuangan Arsenal.



Pepe mencetak gol pembukaan menerusi satu voli dari jarak dekat sebelum menyempurnakan kemenangan itu dengan menggelecek untuk menyudahkan gol ketiga ketika pasukannya mencipta dua jaringan dalam masa kecederaan -- satu lagi menerusi Gabriel Martinelli berikutan tandukan Christian Benteke membatalkan gol pembukaan lawan selepas sejam permainan.

Arteta kemudian mengulas mengenai kelincahan penyerang Ivorian berusia 25 tahun itu: "Kami menyedari bahawa dia semakin menyerlah musim ini.

"Adakalanya dia tidak menunjukkan ketekalan dalam perlawanan tetapi saya fikir dalam kancah Eropah, dia hebat dan dalam EPL pula, dia mula menonjolkan kemampuan sebenarnya dan dia sangat dahagakan kejayaan.

"Saya rasa dia telah banyak berubah daripada segi mental dan persediaan untuk melakukan sumbangan yang lebih besar."