Pep Guardiola berkata Manchester City tidak lagi memikirkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas tumbang 0-1 ketika bertandang ke Tottenham, sebentar tadi.

Harry Kane mencetak namanya selaku penjaring terbanyak Spurs menerusi gol tunggal perlawanan itu, secara tidak langsung memberi tamparan hebat kepada peluang City untuk mengekalkan kejuaraan, seterusnya memberi kelebihan besar kepada pencabar utama, Arsenal.

Sehari selepas The Gunners tergelincir di Everton, City gagal memanfaatkan peluang terhidang itu untuk menghambat anak buah Mikel Arteta tersebut yang mendahului lima mata dan satu perlawanan di dalam tangan.

Pengurus City itu memberitahu Sky Sports: "Kami tidak berada di kedudukan untuk mempertimbangkan tentang untuk menjadi juara. Kami hanya boleh memikirkan perlawanan seterusnya.

"Tottenham mempunyai sebuah pasukan yang hebat dan mereka menghukum kami. Mereka mempunyai kualiti di barisan hadapan. Kami harus memberi pujian tinggi kepada mereka.




"Kami bermula dengan baik tetapi selepas kami melakukan kesilapan, mereka menghukum kami.

"Ketika ketinggalan 0-1, ia sudah jadi berbeza. Ia bukan mudah. Kami kehilangan tiga mata."

Ia adalah kekalahan kelima pelawat di Stadium Tottenham Hotspur yang masih buntu menemui sentuhan penyudah.

Lantas, Guardiola diminta mengulas mengenai rekod itu: "Lambat laun, ia akan berubah, tetapi pelik kami tidak mampu menghasilkan sebarang gol.

"Untuk mencari penjelasannya bukan mudah. Kami menemui ruang, kami ada membuat umpanan menarik tetapi kami kurang berbisa di hadapan."