Kumpulan peminat Atletico Madrid menggesa kelab itu supaya menolak pembelian Cristiano Ronaldo dengan melabelnya sebagai bertentangan dengan nilai pasukan.

Penyerang Manchester United itu kembali menjalani latihan kelmarin, selepas terlepas jelajah pra-musim Asia dan Australia selain dilaporkan mendesak untuk berhijrah berikutan keinginannya untuk terus beraksi dalam Liga Juara-Juara (UCL).

Bagaimanapun, sebarang pembeli berpotensi masih belum muncul biarpun Atletico sempat dikaitkan untuk membawa semula bekas bintang Real Madrid itu ke ibu negara Sepanyol.

Bagaimanapun, peminat dengan lantang menolak idea itu apabila Kesatuan Antarabangsa Kelab Peminat Atletico (Union Internacional de Penas Atletico de Madrid) mengeluarkan satu kenyataan.

Dalam kenyataan itu juga, penyokong meletakkan reputasi kelab lebih penting berbanding pemain sungguhpun kehadiran kapten Portugal tersebut mampu mencerahkan peluang mereka memenangi gelaran.

“Malang baginya perasaan untuk menjadikan sebahagian daripada Atletico tiada dalam fikirannya, oleh itu dia tidak akan pernah menerima kasih sayang atau pengiktirafan daripada kami," katanya.