Ketua jurulatih Belanda, Louis van Gaal, memihak kepada penyokong yang memutuskan untuk memboikot Piala Dunia di Qatar.

Selepas penantian selama 12 tahun yang sarat dengan kontroversi, edisi Piala Dunia pertama yang bakal dilangsungkan di Timur Tengah itu bakal membuka tirai pada Isnin depan yang menyaksikan perhitungan di antara Qatar dan Ecuador.

Tuan rumah terpalit dengan isu hak asasi manusia berikutan layanan terhadap pekerja asing dan larangan homoseksualiti sambil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menggesa kesemua negara yang mengambil bahagian supaya memberi tumpuan kepada bola sepak.

Bagaimanapun, seruan itu sukar disahut apabila beberapa negara mula bersuara,dan Van Gaal melahirkan sokongannya terhadap peminat yang memboikot kejohanan berkenaan.

"Saya fikir tindakan mereka betul untuk berbuat demikian kerana mereka percaya dengan pendirian mereka dan mereka perlu melakukannya, jadi tiada masalah mengenai hal ini," katanya.



“Dan saya berharap kami bermain dengan sangat hebat hingga penghujung kejohanan dan apabila kami beraksi dalam perlawanan akhir, mereka akan melihat di televisyen betapa hebatnya kami.

“Saya fikir anda perlu menganjurkannya di negara bola sepak, lebih banyak pengalaman tentang segala-galanya tetapi pemilihan (tuan rumah) ini juga mampu merangsang sesebuah negara dengan cara lain, dengan cara yang betul.

“Ini juga sebuah negara kecil, keluarga saya mahupun rakan-rakan saya kerap menghadapi kesukaran untuk mencari venue di sini, jadi ini juga satu teguran.

"Organisasi, padang dan aspek kemudahan pula sangat bagus."