AJAX 4 DORTMUND 0

Erik ten Hag menghamburkan pujian terhadap Ajax selepas gergasi Eredivisie itu menyempurnakan kemenangan ketiga Liga Juara-Juara (UCL) musim ini dengan menjinakkan Borussia Dortmund 4-0.


Ajax menghasilkan persembahan tanpa belas kasihan di Amsterdam, awal pagi tadi, di mana tendangan bebas Dusan Tadic yang terbias daripada Marco Reus menyemarakkan semangat mereka untuk bertambah selesa menerusi jaringan Daley Blind, Antony dan Sebastien Haller.

Ajax memenangi tiga aksi pembukaan UCL buat julung kalinya sejak 1995-96 yang pernah menyaksikan mereka mara ke final sebelum tewas kepada Juventus dengan penentuan penalti.

Ajax juga telah menyumbat 11 gol, catatan terbanyak mereka dalam kempen Piala Eropah/UCL sejak merekodkan 26 jaringan dalam tiga perlawanan awal pada musim 1979-80.

"Sudah tentu saya sangat bangga dengan pasukan saya," kata pengurus Ajax itu kepada Amazon Prime.

"Kami memperagakan persembahan yang hebat dan bermain bola sepak yang luar biasa.

"Apabila dua pasukan dengan falsafah ini ingin menyerang maka ia akan menjadi perlawanan terbuka, dan kami memenangi malam ini."





Ajax menghadiahkan Dortmund kekalahan terburuk mereka di peringkat Eropah sejak tewas 0-4 kepada Sochaux dalam Piala UEFA pada November 2003, malah merupakan kekalahan terbesar oleh mana-mana kelab Bundesliga dalam kempen itu.

Ten Hag menambah: "Menguasai permainan merupakan salah satu agenda utama kami malam ini. Pemain saya luar biasa dalam hal itu dan mereka mencipta banyak peluang.

"Apa yang paling menggembirakan saya adalah cara kami memberi tekanan. Saya gembira kerana kami menang menerusi persembahan yang mempesonakan tetapi masih ada tiga baki perlawanan lagi."

Sementara itu, Haller muncul pemain Afrika pertama yang menjaringkan gol dalam tiga penampilan pertama UCL sejak pencapaian Didier Drogba pada 2003 selepas bintang Ivorian itu merakamkan enam gol dan mencipta dua bantuan jaringan.