Pengurus skuad negara, Datuk Wira Yusof Mahadi, tidak nampak di mana keberkesanan bakat luar untuk membantu skuad negara.

Malah, Yusof sepenuhnya bersetuju andai slot itu diberikan kepada pemain yang benar-benar ingin membantu skuad negara dan lebih bersemangat demi lencana di dada.

Yusof menganggap tiada apa yang perlu dipertahankan lagi dan program naturalisasi langsung tidak membantu skuad negara yang berangan-angan untuk menepati peta hala tuju F:30 dalam misi muncul selaku gergasi di pentas Asia menjelang 2023 dengan keberkesanan kelibat seperti Mohamadou Sumareh, Guilherme De Paula dan Liridon Krasniqi semakin tersasar ketika ini.

"Kami mengharapkan dia (De Paula) mampu melakukan sesuatu kerana ini adalah peringkat ASEAN. Kami jangka dia boleh meletup dalam Piala AFF.

"Keupayaannya tidak seperti yang kami harapkan. Sumbangannya tidak sampai seperti yang kami minta," katanya.

Jika program naturalisasi masih mahu dipertimbangkan, badan induk negara itu seharusnya tidak lagi melakukan kerja ala kadar dengan menjadikan episod di Kota Singa sebagai satu pengajaran perit untuk dijadikan iktibar.

Ia tidak boleh lagi berulang menjelang kelayakan pusingan ketiga Piala Asia pada Jun 2022.

"Bergantung kepada laporan dan keperluan jurulatih.

"Kalau jurulatih berasakan pemain naturalisasi ada ruang untuk diberi peluang, kemudian jawatankuasa pasukan kebangsaan akan bincangkan sama ada ia perlu atau tidak.

"Tapi kena tunggu laporan daripada jurulatih terlebih dahulu," katanya lagi.