Sebagai pemain yang pernah beraksi dalam Liga Super bersama PKNP FC musim lalu, pertahanan muda yang baru diserapkan ke dalam skuad utama Selangor, Mukhairi Ajmal Mahadi, bertekad untuk menggunakan pengalaman itu bagi merebut tempat dalam skuad utama kendalian B. Sathianathan itu.

Sebelum ini, Mukhairi Ajmal hanya didaftarkan untuk beraksi dalam skuad Selangor II, namun dinaikkan pangkat selepas aksinya mengemudi bahagian tengah dalam empat perlawanan pertama Liga Perdana memikat ketua jurulatih itu.

"Alhamdullilah, saya gembira sebab dapat menyertai pasukan yang besar dan Insya-Allah, saya akan menggunakan pengalaman yang saya ada.

"Saya akan mencuba yang terbaik untuk mendapatkan tempat dalam saingan Liga Super," katanya.

Selain itu, aura yang dimiliki Sathianathan turut menjadikan kapten skuad B-19 negara itu lebih bersemangat untuk merealisasikan misinya.

"Sewaktu awal menyertai pasukan ini, saya agak takut apabila melihat jurulatih yang membawa pasukan sebesar ni.

"Tetapi lama-kelamaan, dia banyak memberikan semangat untuk mendorong saya dalam latihan dan dia mahu saya buat yang terbaik untuk merebut tempat," tambahnya.

Tahun lalu, Mukhairi Ajmal mencipta sensasi apabila membuat kemunculan bersama PKNP FC dalam Liga Super pada usia 17 Tahun, 3 Bulan dan 16 Hari.

Dia diturunkan pada minit ke-67 dalam pertemuan menentang PKNS, Jun tahun lalu.