Asnan Ahmad tidak menolak soal 12 hari beraksi di luar memberi kesan kepada persiapan Penang FC untuk berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Bandaraya, malam esok.

Tetapi pemain tengah skuad Harimau Kumbang itu berkata ia bukanlah satu alasan untuk mereka tidak cuba mencalarkan rekod bersih juara bertahan berkenaan yang menyingkirkan mereka dalam suku akhir Piala FA, di Stadium Sultan Ibrahim, hujung minggu lalu.

"Sudah tentu ia memberi kesan tapi dalam tempoh pemulihan untuk perlawanan akan datang.

"Kami juga buat pemulihan sendiri yang kini boleh dikatakan sudah mencapai tahap 80 peratus, JDT juga melalui tempoh ini.




"Walaupun mereka mempunyai kekuatan di setiap tempat tapi jika diteliti, mereka ada sedikit kelemahan.

"Kami boleh melakukan serangan balas kerana selalunya akan meninggalkan 2-3 pemain di belakang.

"Tapi serangan balas kami haruslah lebih efektif," katanya.

Dengan saingan memasuki pertengahan musim, Asnan turut menganggap bahawa ia tidak seharusnya menjadi masalah.

"Komunikasi, komitmen dan pemahaman dalam kalangan pemain bertambah baik.

"Kami perlu lebihkan fokus," katanya lagi.