Hala tuju pasukan kebangsaan dalam tempoh jangka panjang menjadi topik perbincangan utama dalam sesi dialog peminat bersama Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, di Subang, hari ini.

Sesi yang berlangsung selama hampir tiga jam itu dihadiri kira-kira 150 orang dengan isu pelantikan Tan Cheng Hoe selaku ketua jurulatih dan penggunaan pemain naturalisasi menjadi perhatian utama peminat.

Rata-rata mereka nyata berpuas hati dengan jawapan secara terus yang diberikan oleh Tunku Ismail, terutama dalam polisi penggunaan jurulatih asing.

"Ini satu pendekatan yang baik kerana Tan Cheng Hoe adalah seorang jurulatih berpengalaman luas dan mendapat didikan daripada jurulatih tempatan mahupun antarabangsa.

"Sudah sampai masanya Tan Cheng Hoe mengenali budaya bola sepak Malaysia," kata pemerhati bola sepak, Hasnizam Uzir.

Dalam pada itu, peminat yang ditemui turut berpuas hati dengan sesi bersama presiden FAM itu, dengan berkata: "Tunku Ismail telah menerangkan secara lebih terperinci mengapa Nelo Vingada dilantik, sekarang Tan Cheng Hoe pula.

"Tunku Ismail menjelaskan keadaan mungkin berubah kerana FAM berhasrat melantik jurulatih yang lebih baik (pada masa depan) jika kewangan FAM lebih besar."