Pemilik Brescia, Massimo Cellino, menempelak perancangan untuk meneruskan kempen Serie A mulai 20 Jun depan.

Menteri Sukan Itali, Vincenzo Spadafora, semalam mengesahkan saingan itu, yang tertangguh sejak Mac lalu kerana wabak novel koronavirus (Covid-19), akan bersambung bulan depan.

Pertemuan kedua separuh akhir dan final Coppa Italia juga akan diadakan seminggu sebelumnya dan dilangsungkan secara tertutup.

Cellino, bagaimanapun, menentangnya idea itu tatkala krisis kesihatan yang menyaksikan lebih 231,000 kes positif pandemik berkenaan melanda Itali selain telah mencatat lebih 33,000 kematian.

Justeru, beliau menganggap langkah meneruskan kempen 2019-20 sebagai "satu keputusan yang gila" dengan berkata kepada BBC: "Ini terlalu berat buat pemain.

"Mereka berhenti berlatih selama dua bulan. Adalah berbahaya untuk memulakannya dengan tiga perlawanan seminggu. Jadi, saya khuatir mengenai kecederaan dan cuaca panas yang akan menjadi lebih buruk di Itali berbanding Jerman."



Nada itu turut disuarakan bekas tonggak Itali era 90-an, Angelo Di Livio, yang menganggap ia satu usaha yang sia-sia memandangkan Covid-19 telah meragut banyak nyawa di negara itu.

"Siapa yang mempunyai keberanian untuk meraikan kejuaraan setelah semua ini?

"Ayuh kita hadapi (realitinya). Mereka mahu bola sepak terus dimainkan di gelanggang tertutup? Saya sedar apa yang membuatkan bola sepak diminati termasuk dalam situasi ini, tetapi saya tidak setuju," katanya pula.

Bundesliga merupakan kancah pertama daripada lima liga utama di Eropah yang kembali rancak bulan ini sementara Liga Perdana Inggeris (EPL) menetapkan 17 Jun depan dan LaLiga pula berharap boleh kembali dalam tempoh beberapa minggu akan mendatang.

Ligue 1 pula menjadi satu-satunya daripada lima liga utama yang mengisytiharkan musim ini sudah berakhir.