Kekalahan pertama Harimau Malaya dalam Kumpulan B dalam Kejohanan Piala AFF di Stadium Kebangsaan My Dinh kepada Vietnam penuh dengan keputusan-keputusan kontroversi yang dibuat pengadil sehingga ia memberi kesan kepada persembahan anak didik Kim Pan Gon berkenaan.

Bukan itu sahaja, Ryuji Sato sebagai pengadil dalam perlawanan itu juga tertipu dan terpedaya dengan aksi-aksi lakonan yang dipamerkan anak didik Park Hang-Seo berkenaan dalam pertembungan yang penuh dramatik itu.

Lihat sahaja bagaimana sepakan penalti yang diberikan kepada Vietnam apabila pemain-pemain Golden Star Warriors bijak dalam memanipulasi mata pengadil.

Ini sebenarnya keputusan-keputusan yang tidak adil kepada Harimau Malaya dan yang paling menyedihkan sebenarnya adalah apabila pengadil tidak dapat melihat kekasaran yang dilakukan terhadap pemain negara seperti melakukan sikuan di bahagian dada dan leher apabila anak didik Kim Pan Gon cuba memberi tekanan untuk memenangi bola.

Sepatutnya, sebagai pengadil yang berpengalaman, Ryuji Sato perlu lebih bijak dalam membuat keputusan dan melindungi pemain daripada mengalami kecederaan.

Walaupun perlawanan sudah pun berakhir dan keputusan telah diketahui tetapi ia sebenarnya menjadi satu pengalaman serta pengajaran yang berguna kepada semua pemain dan pengurusan skuad Harimau Malaya tentang bagaimana untuk mengawal emosi dan situasi jika pengadil tidak memihak kepada mereka.

Perkara paling penting untuk pengurusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) adalah bagaimana untuk memulakan tindakan supaya penganjur kejohanana, iaitu Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) dapat mengatasi situasi itu daripada berulang kembali serta bagaimana untuk meyakinkan kembali pemain-pemain Harimau Malaya.

Tindakan daripada FAM amat penting pada amatan penulis kerana ia melibatkan maruah dan imej pasukan negara apatah lagi ia melibatkan moral pemain yang telah mengerah kudrat mereka untuk memertabatkan bola sepak negara dan untuk mengharumkan nama serta imej Malaysia.

Buat penyokong pula, pada situasi ini, kita teruslah memberikan sokongan kepada Harimau Malaya supaya moral mereka terus tinggi sebelum perlawanan seterusnya. Dengan itu mereka akan terus fokus untuk pastikan matlamat dan misi mereka dalam kejohanan AFF kali ini tercapai.