Kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim, memberi saranan kepada rakan sepasukan agar mengambil kesempatan daripada penundaan aksi menentang Korea Utara dalam kelayakan Piala Asia 2019 dengan merakam keputusan positif berdepan Hong Kong di Stadium Hong Kong, Selasa ini.

Tonggak tengah negara ini sedar keputusan postif wajib dilakar di Hong Kong selepas Harimau Malaya sekadar meraih satu mata selepas tiga perlawanan kelayakan Kumpulan B.

Kerana itu, Safiq berharap rakan sepasukannya akan menyerlahkan prestasi terbaik bagi memastikan tiga mata ke atas lawan itu.

Hanya kemenangan yang akan mencerahkan kembali laluan skuad negara ke pusingan akhir di Emiriah Arab Bersatu (UAE) tahun depan.

"Kita mahukan keputusan yang baik dan mahukan mata maksimum di sana. Jadi, saya harap kami dapat mempersembahkan apa yang jurulatih terapkan.

"Kami akan berikan yang terbaik untuk pasukan negara dan ini adalah satu-satunya peluang untuk kita mencapai keputusan yang baik," katanya.

Dalam pada itu, Safiq juga menyambut baik kehadiran enam pemain daripada skuad bawah 22 tahun negara yang tampil menguatkan pasukan.

Bagi Safiq, keenam-enam pemain itu juga perlu bersedia seandainya jurulatih pasukan negara, Nelo Vingada, membariskan mereka dalam kesebelasan utama.

"Bagi saya, siapa sahaja yang dipilih jurulatih, itu adalah kepercayaan yang diberikan kepada pemain, sama ada muda atau senior.

"Kalau kita balas semula kepercayaan itu, kita boleh membentuk satu pasukan yang baik."