Bekas pemain negara, Azlan Johar, menganggap tindakan sebahagian pemain Johor darul Ta'zim (JDT) berhijrah ke pasukan lain untuk mendapatkan minit permainan sebagai satu respons positif.

Bekas pemain Selangor pada era 80an itu percaya keputusan yang diambil pemain terbabit mampu meningkatkan kualiti permainan skuad kebangsaan untuk bersaing di pentas antarabangsa.

Musim ini menyaksikan JDT melepaskan lebih daripada 10 pemain secara pinjaman ke pasukan lain.



"Peluang mereka hanya ada apabila mereka keluar ke negeri yang mahukan khidmat mereka," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

"Jadi, itulah sebabnya mengapa kita dapat lihat ketika ini, pemain-pemain yang hebat ini, yang boleh mewakili pasukan kebangsaan, ingin mencari minit permainan kerana mereka tahu kecergasan dalam perlawanan itu amat penting.

"Pasukan kebangsaan juga ketika ini ramai pemain naturalisasi dan semakin kurang pemain tempatan.

"Disebabkan itu juga saya rasa pemain-pemain ini sedar mereka perlu beraksi.

"Ini bagus, saya rasakan ia satu respons yang positif, iaitu kita harus berusaha, kita perlu rajin berlatih dan kita perlu memastikan mendapat tempat untuk beraksi.

"Apa yang penting mereka sedar mereka perlu beraksi kerana mereka masih mahu menyumbang bakti buat pasukan negara," katanya.