Raphael Varane berkata jadual padat bola sepak di peringkat tertinggi sebagai alasan persaraannya daripada tugasan bersama Perancis.

Kelmarin, pertahanan Manchester United itu meluahkan hasratnya menamatkan kerjayanya di peringkat antarabangsa selepas membuat 93 penampilan dalam tempoh 10 tahun bagi mengecapi kejayaan Piala Dunia 2018.

Bekas bek tengah Real Madrid itu -- yang menyertai United 18 bulan lalu -- beraksi dalam keenam-enam perlawanan membabitkan Perancis dalam Piala Dunia di Qatar, di mana mereka ditewaskan oleh Argentina menerusi sepakan penalti dalam perlawanan akhir.

Pada usia 29 tahun, dia secara realistik boleh menyasarkan satu lagi kempen Piala Dunia, tetapi Varane memutuskan jadual padat bola sepak moden terlalu berat buatnya.

“Saya telah mencurahkan segala-galanya, baik secara fizikal mahupun mental,” katanya kepada Canal Plus.


“Tetapi permainan di tahap yang tertinggi ibarat mesin basuh, anda perlu beraksi sepanjang masa dan anda tidak pernah berhenti.

"Kami mengharungi jadual yang terlalu padat dan beraksi tanpa henti. Sekarang ini, saya rasa seperti sesak nafas dan ia memberi kesan kepada diri saya."

Varane, yang mengetuai negaranya sebanyak 20 kali, merupakan anggota kelima skuad Piala Dunia 2018 yang mengumumkan persaraan selepas Blaise Matuidi, Steve Mandanda, Adil Rami dan bekas kapten, Hugo Lloris.