Pep Guardiola mahu melihat Kyle Walker dan semua pemain di Manchester City berkelakuan lebih matang tetapi menegaskan dia tidak perlu untuk memantau aktiviti mereka di luar kelab seperti seorang bapa.

Pengurus City itu tidak mahu mengulas secara terbuka mengenai kelakuan Walker di Bar yang membawa kepada persepsi negatif minggu lalu dan hanya mengulas bahawa insiden itu akan ditangani secara dalaman.

Pemain kebangsaan England itu dirakam CCTV, yang kemudian diterbitkan The Sun, sedang bersama rakan-rakannya di bar berkenaan sebelum bertindak membuka seluarnya.

Akhbar itu mendakwa bahawa Walker sengaja berkelakuan tidak senonoh dan kejadian itu dikatakan berlaku pada hujung minggu lalu, di mana kes berkenaan sedang diteliti pihak polis Cheshire.

Guardiola, bagaimanapun, berkata Walker akan tetap mendapat sokongannya sambil menegaskan pemain itu akan diturunkan dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Crystal Palace awal pagi esok.

"Kita perlu menyesuaikan diri dengan realiti," kata Guardiola dalam sidang media.

"Semua orang menyedarinya dan hari ini, mereka terdedah untuk segala-galanya selama 24 jam. Kehidupan peribadi sudah tidak wujud lagi di luar rumah mereka.

"Saya sudah bercakap dengannya tetapi kita semua sudah dewasa. Saya bukan bapa mereka, saya rakan kepadanya. Saya sedar ada banyak perkara yang berlaku sebelum ini. Dia dan semua orang boleh mengharapkan saya (untuk menyelesaikan) masalah peribadi mereka.

"Saya tidak perlu memberitahunya bahawa yang dia tidak boleh berkelakuan sepeti itu. Dia sudah dewasa. Kelab ini sentiasa ada di belakangnya setiap masa. Saya mahu katakan bahawa mereka boleh mengharapkan kami pada waktu baik dan waktu buruk mereka," katanya.

Guardiola menambah: "Semua orang tahu bahawa hanya ada satu tempat yang saya fikir selamat, iaitu rumah mereka, kuncikan pintunya. Sebaik sahaja anda membuka pintu, anda akan terdedah.

"Hari ini, ia jelas berbeza berbanding 15 atau 20 tahun lalu. Anda kini perlu menyesuaikan diri dengannya dan semua pemain sedar perkara itu."