Duta Piala Dunia Qatar 2022, Tim Cahill, berasakan setiap pemain bola sepak perlu mempunyai pelajaran demi kelangsungan mereka selepas bersara daripada sukan itu.

Bekas kapten skuad Piala Dunia Australia itu menyambung pelajarannya selepas bersara apabila diterima masuk ke Sekolah Perniagaan Havard (Harvard Business School) di Boston demi menuntut ilmu dalam jurusan Perniagaan Hiburan, Media dan Sukan.

Sebelum menggantung but pada 2019, Cahill pernah mewakili pelbagai kelab di serata dunia seperti Milwalll, Everton, New York Red Bulls dan Shanghai Shenhua antaranya.

Dia juga perah menjulang Piala Asia pada 2015 selain Piala Negara-Negara OFC pada 2018.

Menerusi satu sesi soal jawab dalam laman web rasmi Qatar 2020, individu berusia 41 tahun itu menjelaskan mengenai kepentingan untuk seseorang pemain bola sepak itu berpelajaran tinggi.

"Saya meninggalkan sekolah pada usia 16 tahun untuk mengejar impian saya sebagai seorang pemain bola sepak profesional. Saya membaca buku sebagai pembelajaran buat diri saya sepanjang karier tetapi saya tidak pernah menyedari kepentingan pelajaran sehinggalah pada penghujung karier saya, di mana saya mula mempelajari tentang perniagaan, yang benar-benar membantu saya untuk memulakan syarikat sendiri atau melabur ke syarikat lain.



"Pada usia 39 tahun, saya amat bertuah apabila diterima masuk ke Sekolah Perniagaan Havard di Boston untuk mempelajari jurusan Perniagaan Hiburan, Media dan Sukan dengan pemimpin-pemimpin dari serata dunia, di mana ia adalah pengalaman pembelajaran yang hebat buat saya.

"Kini, pada usia 41 tahun, saya masih mendorong diri saya setiap tahap apabila ia melibatkan pelajaran, sebagai contoh dengan melengkapkan kursus kejurulatihan dan menghabiskan Diploma Pengurusan Sukan di Institut Josoor. Saya baru menamatkan tahap pertama diploma saya dan ia sesuatu yang hebat kerana saya dapat mempelajari tentang pengurusan komersial sukan dan perkara di sekitarnya seperti periklanan, penajaan dan pengkomersialan.

"Walaupun terlibat dengan bola sepak sepanjang hidup, saya tidak sepenuhnya sedar akan keseluruhan ekosistem dan tahap keperincian yang diperlukan dalam menguruskan segala-galanya melibatkan kelab atau institusi sukan utama.

"Baru-baru ini, saya juga dilantik sebagai Ketua Pegawai Sukan di Aspire Academy. Saya masih membiasakan diri dengan jawatan baru ini tetapi saya fikir ia adalah satu peranan yang menepati kemahiran hidup yang saya miliki sepanjang 20 tahun sebagai pemain bola sepak dan bekerja di banyak negara dan bermain dalam kejohanan besar.

"Saya masih banyak belajar setiap hari, yang mana saya fikir ia amat penting dalam setiap fasa hidup tetapi ia memberikan saya waktu yang mengujakan secara profesional. Saya benar-benar menikmati cabaran baru yang saya hadapi ini selepas menamatkan karier sebagai pemain," katanya.



Ditanya sama ada kelab bola sepak ada membantu pemain bagi menghadapi kehidupan selepas bersara,Cahill berkata: "Saya harap dapat melihat kelab bola sepak dan persatuan memberikan lebih penekanan dalam membantu pemain untuk bersedia dengan kehidupan selepas bersara. Saya Fikir pada zaman ini, kebanyakan mereka telah melakukannya dengan baik tetapi masih ada ruang untuk ditambah dan diperbaiki.

"Saya fikir sebagai seorang yang agak berdikari dan seorang yang mecuba untuk berfikir di luar kotak, saya menubuhkan syarikat sendiri untuk membantu saya menentukan pilihan hidup dengan perkara-perkara komersial, perniagaan dan pendidikan, jadi saya melalui persaraan dengan cara tersendiri.

"Sokongan daripada persatuan itu ada tetapi saya tetap berasakan masih banyak yang boleh dilakukan mereka.

"Ia adalah sesuatu yang saya ingin terlibat secara peribadi dan dengan rasa senang hati untuk memberikan pandangan saya kerana pada akhirnya, saya rasa adalah penting untuk membalas dan membantu pemain generasi ini daripada segi pelajaran sekiranya saya mampu.

"Saya menyarankan agar pemain bola sepak yang masih aktif, terutama di rantau dan negara saya, untuk mempelajari kemahiran dan teknologi baru ketika mereka masih bermain agar mereka dapat mempersiapkan diri bagi menghadapi kehidupan selepas bersara," katanya lagi.

Piala Dunia Qatar akan berlangsung dari 21 November hingga 18 Disember 2020 dengan 32 pasukan terbaik dunia akan bersaing merebut trofi terulung dalam sejarah bola sepak.

Langgani saluran sukan Astro untuk mengikuti segala perkembangan terkini menjelang karnival bola sepak terbesar dunia itu.