Thomas Tuchel menggesa Kai Havertz agar menyinar ketika berpeluang untuk menerajui jentera serangan Chelsea berikutan kecederaan yang menimpa Romelu Lukaku dan Timo Werner.

Pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu bakal menerima kunjungan kelab yang bergelut, Norwich City, malam ini, tanpa dua penyerang itu yang dilanda kecederaan ketika menang 4-0 ke atas Malmo dalam Liga Juara-Juara (UCL), kelmarin.

Tuchel mengesahkan anak buahnya itu akan terlepas sekurang-kurangnya dua perlawanan sambil memberi isyarat bahawa Havertz akan mengisi kekosongan berkenaan selepas turut menemui sentuhan penyudah ketika menentang Malmo.

Havertz hanya memulakan empat daripada lapan perlawanan liga musim ini dengan mencetak satu gol sementara belum mencatatkan sebarang bantuan jaringan sepanjang 320 minit permainan.




Tuchel menjelaskan mutu persembahan menjadi punca pemain antarabangsa Jerman itu jarang dipertaruhkan, lantas menggesanya agar menonjolkan bakatnya dalam perlawanan akan datang apabila bertemu Norwich dan Southampton bagi meningkatkan prestasinya.

"Sejujurnya, hanya ada satu cara untuk melangkah ke padang dan kekal di sana, iaitu kualiti persembahan," kata Tuchel dalam sidang akhbar sempena perlawanan itu.

"Kai tidak berada dalam prestasi tertinggi sementara yang lain pula lebih dekat dengan tahap sebenar mereka, jadi dia perlu bersabar dalam beberapa perlawanan -- kami berasakan ada pemain lain yang dalam keadaan lebih baik.

"Dia melakukan apa yang diperlukan iaitu berusaha keras, menunjukkan ketahanan dan tekad untuk menjadi lebih tajam. Kemudian dia dapat minit permainan ketika menentang Brentford termasuk menjaringkan gol dan kelihatan berbahaya ketika menentang Malmo.

"Dia berbakat besar, potensi yang begitu tinggi dan dia perlu mempamerkannya, semudah itu.

"Dia perlu buktikan bahawa dia layak dan satu-satunya perkara untuk berjaya dalam pasukan ini adalah prestasi."