Pemain remaja Manchester United, Alejandro Garnacho, bersedia untuk membuat kemunculan pertamanya bersama Argentina apabila juara dunia itu menamakan skuad mereka bagi menghadapi perlawanan pertama mereka sejak kejayaan di Qatar.

Anak buah Lionel Scaloni tersebut menewaskan Perancis 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas seri 3-3 dalam perlawanan akhir Piala Dunia yang mendebarkan pada Disember lalu yang menyaksikan Lionel Messi menggondol trofi idamannya itu.

Bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu bersedia menambah 172 penampilannya bersama Argentina apabila turut tersenarai untuk perlawanan persahabatan dengan Panama dan Curacao, hujung bulan ini.

Tetapi dia mungkin mendapat gandingan baru di bahagian serangan La Albiceleste berikutan prestasi cemerlang Garnacho sejak mengetuk pintu skuad utama United musim ini.

Pemain berusia 18 tahun itu telah mencatatkan lapan penglibatan gol dalam 27 penampilan bersama The Red Devils musim ini, malah menjadi bahagian penting ketika mereka sedang menikmati musim sensasi ini di bawah kendalian Erik ten Hag.



Angel Di Maria turut dinamakan dalam skuad 35 pemain selepas menjaringkan gol kedua Argentina dalam perlawanan akhir Piala Dunia, manakala khidmat wira penentuan sepakan penalti, Emiliano Martinez, turut tidak terlepas.

Rakan sepasukan Martinez di Aston Villa, Emiliano Buendia, juga dalam senarai manakala Enzo Fernandez -- yang menyertai Chelsea dari Benfica pada jendela Januari lalu -- mengekalkan tempatnya.


Senarai penuh panggilan Argentina:

Franco Armani (River Plate), Geronimo Rulli (Ajax), Emiliano Martinez (Aston Villa); Juan Foyth (Villarreal), Gonzalo Montiel (Sevilla), Nahuel Molina (Atletico Madrid), Nehuen Perez (Udinese), German Pezzella (Real Betis), Cristian Romero (Tottenham), Nicolas Otamendi (Benfica), Lisandro Martinez (Manchester United), Nicolas Tagliafico (Lyon), Marcos Acuna (Sevilla), Lautaro Blanco (Elche); Leandro Paredes (Juventus), Guido Rodriguez (Real Betis), Enzo Fernandez (Chelsea), Maximo Perrone (Manchester City), Exequiel Palacios (Bayer Leverkusen), Rodrigo De Paul (Atletico Madrid), Facundo Buonanotte (Brighton and Hove Albion), Thiago Almada (Atlanta United), Giovani Lo Celso (Villarreal), Alexis Mac Allister (Brighton and Hove Albion), Valentin Carboni (Inter); Angel Di Maria (Juventus), Angel Correa (Atletico Madrid), Emiliano Buendia (Aston Villa), Lionel Messi (Paris Saint-Germain), Paulo Dybala (Roma), Lautaro Martinez (Inter), Julian Alvarez (Manchester City), Alejandro Garnacho (Manchester United), Nicolas Gonzalez (Fiorentina), Alejandro Gomez (Sevilla).