Gugup adalah antara punca kekalahan 2-0 skuad bola sepak wanita negara kepada India dalam perlawanan persahabatan di Stadium Selayang, malam tadi.

Perkara itu diakui jurulatihnya, Mohd Asyraaf Fong Abdullah, dengan berkata: "Saya nampak pemain agak gugup sedikit, permainan berjalan tidak seperti dilakukan dalam latihan atau perlawanan persahabatan sebelum ini.

"Ia kerana mereka menentang pasukan yang berkekuatan seakan-akan Myanmar."

Sebahagian besar pemain yang beraksi malam tadi akan menyertai skuad untuk mengharungi kempen Sukan SEA, dan Asyraaf tidak menafikan perlawanan antarabangsa terakhir itu penting untuknya menilai kelemahan yang masih ada dalam pasukan.

"Jadi, ia baik untuk pasukan kerana dalam masa yang sama, ia memberikan sesuatu yang positif kepada saya. Ada kelemahan yang dapat dikenal pasti."

Semangat juang tinggi skuad kebangsaan masih belum dapat mengekang India, dengan jurulatih skuad pelawat itu, Maymol Rocky, menyifatkan Malaysia sebagai lawan yang cukup kuat untuk mereka.

"Pemain saya bermain begitu baik tetapi harus menghormati Malaysia kerana mereka skuad muda. Pemain saya bermain 100 peratus dan cukup berkeyakinan," katanya.

Saingan pada babak pertama menyaksikan corak berhati-hati dipamer kedua-dua pasukan, namun India lebih selesa mengawal perlawanan.

Tiada jaringan dapat dihasilkan sehingga menuju bilik persalinan sebelum Malaysia tampil dengan corak lebih agresif pada separuh masa kedua walaupun kekurangan idea untuk memburu jaringan.

Peluang terbaik hadir menerusi sepakan percuma Fedallah Claritta pada minit ke-72 tetapi terkena palang.

India juga mempunyai peluang tersendiri, malangnya dinafikan ketangkasan penjaga gawang Malaysia, Nurul Azurin Mazlan.

Azurin, bagaimanapun, bolos pada minit ke-76 selepas kealpaan pertahanan Malaysia membuka peluang buat Pyari Xaxa untuk memperoleh jaringan.

Dia terus cemerlang dengan tandukan pada minit ke-85 hasil hantaran dari sebelah kiri padang untuk memastikan kemenangan 2-0 memihak kepada India.


Jadual perlawanan skuad bola sepak wanita dalam Sukan SEA:

15 Ogos: Malaysia lwn Filipina

17 Ogos: Myanmar lwn Malaysia

20 Ogos: Thailand lwn Malaysia

24 Ogos: Malaysia lwn Vietnam