Pahang dan Kedah tetap menjadi pilihan pemerhati bola sepak tempatan ke final Piala FA musim ini walaupun dua pasukan itu sekadar meraih kemenangan tipis dalam aksi separuh akhir pertama, semalam.

Bagi pemerhati bola sepak tempatan, Rizal Hashim, kelebihan yang dimiliki Pahang dan Kedah adalah beraksi dalam saingan Liga Super.

Beraksi dalam kelompok elit dalam saingan domestik membolehkan mereka mengtahui cara untuk menangani situasi getir dalam separuh akhir kedua.

"Kedudukan Pahang dan Kedah dalam saingan Liga Super, kualiti yang dimiliki kedua-dua pasukan yang membariskan pemain import dan tempatan, ia meletakkan mereka di landasan terbaik untuk mara ke final," katanya.

Pandangan sama turut dilontarkan seorang lagi pemerhati bola sepak tempatan, Asmawi Bakiri.

Baginya, Negeri Sembilan sebenarnya mampu melakar kejutan tetapi kegagalan meraih gol dalam aksi pertama kini memberi kelebihan buat Pahang.

"Berdasarkan perlawanan yang berlangsung semalam, mana-mana pasukan masih mampu untuk melayakkan diri ke final.

"Saya berpendapat segala-galanya terletak kepada corak permainan yang diterapkan oleh pengendali pasukan bagi menghadapi perlawanan timbal balik ini," kata Asmawi.