Persembahan Arsenal musim ini menggamit memori kepada skuad 'The Invincibles’ (Kebal Tanpa Kalah)' pada musim 2003-2004, sehinggakan Manchester City yang mendominasi liga buat sekian lama turut sama terkesan.

Meskipun tanpa kelibat seorang penyerang luar biasa seperti Thierry Henry, seluruh pasukan bergandingan sebagai satu unit yang utuh dan seteru ditumbangkan melalui kudrat sepenuh jiwa.

Lebih daripada beberapa pemain boleh dipilih sebagai pendorong utama kejayaan Arsenal setakat ini.

Mungkin Martin Odegaard yang cukup cemerlang di bahagian tengah menyerang, mungkin juga Bukayo Saka dan Gabriel Martinelli yang tidak henti-henti menerobos masuk dari bahagian sayap demi mencipta peluang ataupun menjaringkan gol.

Namun, satu artikel menarik The Daily Mail memberikan perhatian kepada seorang pemain yang layak digelar wira tidak didendang -- Oleksandr Zinchenko.



Bermula dari saat Zinchenko disambar daripada Manchester City, berserta dengan Gabriel Jesus, Arsenal sudah menandakan hasrat mereka adalah untuk memburu kejuaraan musim ini, bukan sekadar berpuas hati dengan kelayakan ke Liga Juara-Juara UEFA (UCL).

Zinchenko dan Jesus masing-masing telah sebati dengan prinsip City yang menjadikan trofi dan kemenangan sebagai satu kewajipan dalam setiap sudut.

Maka, tugas pertama yang digalas oleh Zinchenko sendiri sewaktu tiba di London adalah memberikan motivasi kepada pemain-pemain lain dan membuatkan mereka percaya bahawa kejayaan bukanlah sekadar satu mimpi.

"Sewaktu saya tiba di padang latihan, saya sedar pasukan kami memiliki segala yang diperlukan untuk menjulang piala.

“Maka, saya memberitahu semua pemain lain untuk tidak sekadar berpuas hati dengan tempat tiga teratas tetapi fokus meraih kejuaraan mutlak.

"Ada beberapa pemain yang ketawa mendengarkan kata-kata saya ketika itu tetapi tiada sesiapa yang ketawa sekarang," begitulah ayat yang diungkapkan oleh Zinchenko.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, menggambarkan Zinchenko sebagai pemain yang memenuhi segala kriteria diperlukan untuk beraksi di bahagian bek kiri, serta cukup versatil dan bijak untuk berganjak ke ruang kosong apabila diperlukan.

Sememangnya jika diperhatikan, Zinchenko bukanlah pemain yang kekal di satu posisi tetapi seringkali bergerak ke bahagian tengah padang bagi menghadirkan sandaran kepada pemain-pemain di posisi berkenaan.

Sewaktu menentang Tottenham pada 16 Januari lalu, kehadiran Zinchenko di bahagian tengah membolehkan Arsenal mendominasi posisi berkenaan dan menenggelamkan jentera lawan sepenuhnya, salah satu punca kemenangan selesa dengan skor 2-0 dikecapi.

Ketika menang ke atas Manchester United, Isnin lalu pula, Zinchenko merupakan pemain yang paling banyak menyentuh bola sepanjang permainan, serta memainkan peranan penting dalam pembinaan gol kemenangan jaringan Eddie Nketiah.



Ketika ini, Arsenal telah diperkuatkan dengan kehadiran Leandro Trossard yang cukup versatil juga, seorang pemain yang boleh beraksi di bahagian sayap, tengah menyerang ataupun penyerang utama.

Di samping itu, Arteta telah dipetik sebagai berkata dia sanggup untuk memecahkan rekod perbelanjaan Arsenal demi mendapatkan Declan Rice dari West Ham United musim depan bagi menghadirkan saingan buat Granit Xhaka dan Thomas Partey di bahagian tengah bertahan.

Tidak hairanlah jika kebanyakan lawan mengalami kemerosotan, Arsenal pula beransur-ansur membina kekuatan.