Sewaktu perlawanan sengit di antara Real Madrid dan Manchester City berlangsung awal bulan ini, tindakan kedua-dua pengurus pasukan pada detik-detik penghujung perlawanan jelas menggambarkan sikap mereka yang berbeza.

Tatkala Pep Guardiola, pengurus City, tidak henti-henti menghamburkan arahan kepada pemainnya dan menegaskan apa yang dia mahu lihat berlaku, pengurus Madrid, Carlo Ancelotti, dengan tenang menghampiri dua orang pemain senior, Toni Kroos dan Marcelo, lalu bertanya siapakah yang mereka fikir wajar dibawa masuk untuk beraksi pada masa tambahan.

Jika Madrid tewas dalam perlawanan tersebut, tindakan Ancelotti pastinya digambarkan sebagai seorang pengurus keliru yang tidak tahu apa harus dilakukan, bukannya tindakan pengurus yang kekal tenang dan mempercayai pengalaman pemainnya dalam membantu meraih kemenangan.

Ancelotti telah mengecapi segala kejayaan yang boleh dicapai di peringkat kelab -- pengurus pertama dalam sejarah yang memimpin pasukan kendaliannya menjadi juara dalam lima liga utama di Eropah.



Menurut laporan The Guardian, dia mengakui bahawa antara rahsia utamanya sampai ke tahap ini adalah gara-gara memiliki kurniaan tuah.

Imbas semula ke detik di mana Ancelotti meminta pendapat pemainnya.

Dalam bola sepak moden, satu ciri yang wajib dimiliki oleh pengurus berjaya adalah untuk kekal tenang dan terkawal dalam keadaan yang cukup getir dan bertekanan tinggi.

Pada malam itu, Ancelotti dengan rela hatinya menyerahkan konsep 'kawalan' kepada pemainnya dan rela menanggung akibat daripada tindakan tersebut.

Mungkin tuah memainkan peranan tersendiri tetapi apa yang pasti adalah dia bukan sahaja percaya bahawa pemainnya mampu untuk melaksanakan strategi yang diatur dan mengasimilasikan mesej yang disampaikan tetapi turut berkebolehan untuk bertindak kreatif dan mengambil langkah terbaik untuk mencapai tujuan yang diinginkan.

Kepercayaan sebegini melahirkan keberanian yang tiada taranya.

Sewaktu Ancelotti bersama AC Milan pada zaman puncak kegemilangan mereka, iaitu pada 2003-2007, antara cabaran terbesarnya adalah mengendalikan empat pemain berkelas dunia yang kesemuanya beraksi di bahagian tengah - Andrea Pirlo, Clarence Seedorf, Kaka dan Rui Costa.

Mesej Ancelotti kepada mereka berempat cukup ringkas dan mudah: "Kamu berempat harus mencari jalan untuk bekerjasama dan membahagikan tugas sebaik-baiknya, jika tidak, salah seorang akan saya letakkan di bangku simpanan dalam setiap perlawanan yang mendatang."

Hasilnya, Milan beraksi dengan formasi barisan tengah berbentuk berlian, Pirlo di bahagian tengah bertahan, Kaka di bahagian tengah menyerang.

Milan menjuarai UCL pada 2007 dan Kaka pula meraih anugerah Ballon d'Or -- satu lagi hasil gemilang hasil kepercayaan yang diberikan.

Bersama Madrid ketika ini, tuah Ancelotti adalah dengan memiliki sekelompok pemain senior yang cukup arif akan peranan dan tanggungjawab mereka, lalu mampu beraksi dengan cukup selesa.



Menurut kata-kata Ancelotti sendiri, apabila dibandingkan dengan tempoh dia menjadi pengurus Madrid buat kali pertama pada 2013-2015, pemain-pemain seperti Kroos, Casemiro dan Luka Modric sedikit pun tidak berubah daripada segi disiplin dan kedahagaan untuk mencapai kemenangan ketika ini.

Kejayaan Madrid menjulang trofi juara La Liga musim ini dihasilkan di sebalik kemelut dalaman dan kebencian seluruh dunia terhadap presiden mereka, Florentino Perez, gara-gara cadangan untuk membentuk projek Liga Super Eropah, namun ternyata kesemua itu tidak memberikan kesan terhadap wawasan Ancelotti.

Selain sumbangan abadi pemain-pemain veteran mereka, pemain muda seperti Vinicius Junior, Rodrygo, Eder Militao dan Fede Valverde turut diberikan kepercayaan untuk menabur jasa dan sememangnya kepercayaan itu dibalas dengan sebaik-baiknya.

Perlawanan menentang Liverpool dalam final UCL awal pagi Ahad ini diramalkan bakal menjadi satu lagi aksi klasik.

Tidak kira apa pun yang berlaku, sesuatu yang pastinya dipelajari oleh kesemua pihak musim ini adalah jangan sesekali menidakkan keupayaan Madrid mencipta keajaiban sehinggalah wisel penamat dibunyikan.

Rahsia mereka bukanlah sekadar pemain dan pengurus yang mantap tetapi kepercayaan menyeluruh dan mendalam daripada segala aspek.

Juga, sedikit tuah.