WOLVES 0 LIVERPOOL 1

Jurgen Klopp menyifatkan Divock Origi sebagai legenda Liverpool selepas jaringan tunggal pemain Belgium itu pada masa kecederaan menjadi pemisah perlawanan dramatik di Molineux, awal pagi tadi.


The Reds dikecewakan dengan keampuhan pertahanan tuan rumah, Wolves, sebelum penyerang gantian itu masuk untuk menjadi wira mereka hasil lorongan Mohamed Salah.

Bercakap kepada Sky Sports, Klopp memuji Origi dengan berkata: "Divock Origi adalah seorang legenda, dia menyudahkan peluang terhidang ia adalah satu kisah yang hebat. Dia seorang penyerang yang luar biasa. Atas sebab berbeza dia tidak dapat beraksi begitu kerap tetapi saya harap suatu hari kelak dia akan menemui seorang pengurus yang sering menurunkannya daripada saya.

"Dia adalah salah seorang penyudah terbaik yang pernah saya saksikan dalam hidup ini. Dalam pasukan yang hebat ini, dengan tiga penggempur yang ada, dia jarang mendapat tempat. Tetapi dia seorang pemain yang sangat positif, menyayangi kelab, mahu untuk menyumbang dan dia melakukannya dengan cara yang luar biasa."




Jaringan jarak dekat itu -- yang dicipta dalam minit keempat masa kecederaan -- merupakan gol ke-10 Origi sebagai pemain gantian dalam EPL.

Tiada pemain Liverpool yang menjaringkan lebih banyak daripadanya dari bangku simpanan.

Ia juga merupakan gol kemenangan EPL ke-39 pelawat yang dijaringkan selepas permainan melewati 90 minit, sekurang-kurangnya 13 kali lebih banyak daripada yang pernah dicapai oleh pasukan lain.

Pengurus Liverpool itu juga menegaskan keputusan Chelsea langsung tidak mempengaruhi keazaman barisan pemainnya dan dia menghargainya.

"Keputusan pasukan lain tidak begitu penting, kami hanya mahu memenangi perlawanan bola sepak," kata Klopp.

"Kami telah beraksi dalam perlawanan 'derby' tiga hari lalu, (menang 4-1 ke atas Everton) yang merupakan perlawanan paling getir.

"Kami perlu menyambung perjuangan ini dan saya suka bagaimana kami berjuang hari ini."

Origi yang masuk menggantikan Jordan Henderson pada minit ke-68 mendedahkan amanat yang diberikan oleh Klopp: Jadi Divock. Cuba dan beri sumbangan, akhirnya ia membantu pasukan."