Andre Onana mendedahkan bahawa satu mesej sokongan daripada rakan negaranya, Samuel Eto'o, telah membantunya untuk menyertai Inter Milan, di mana legenda Cameroon itu berkata kepadanya, "anda adalah seorang pemenang".

Onana melengkapkan perpindahannya ke Inter daripada Ajax secara perpindahan percuma awal bulan ini, sekali gus menamatkan tempoh enam musimnya bersama juara Eredivisie berkenaan.

Penjaga gol kebangsaan Cameroon itu dilaporkan sudah bersetuju dengan setiap terma perpindahan berkenaan sejak Januari lalu dan pemain berusia 26 tahun itu dijangka akan mengikat kesepakatan jangka panjang bagi menggantikan Samir Handanovic.

Pasukan bimbingan Simone Inzaghi itu masih belum mengesahkan tempoh sebenar kontrak Onana tetapi ada laporan mendedahkan kesepakatan itu hanya akan tamat pada penghujung kempen 2026-27.

Dengan bersetuju untuk berhijrah dari Amsterdam ke Milan, Onana mendedahkan bahawa Eto'o, yang merupakan sebahagian daripada skuad Nerazzurri ketika muncul juara 'treble' musim 2009-10, memainkan peranan penting dalam menentukan keputusannya.

"Ia kelab yang besar. Sejak saat saya bercakap dengan (pengarah sukan) Piero Ausilio, dia segera memberikan janjinya kepada saya dan dia memegangnya," kata Onana kepada DAZN.

"Perbincangan kami itu memberikan kesan kepada saya dan saya sangat gembira.

"Saya sudah mengetahui mengenai Inter kerana Eto'o. Saya sudah berbincang dengannya sebelum perpindahan ini dan dia memberitahu saya, anda seorang pemenang, Inter kelab yang tepat buat anda," katanya.