Pemain tengah menyerang, Martin Odegaard, mengakui lebih memikirkan masa depannya di Real Madrid, sekali gus memberi tamparan hebat kepada usaha Arsenal untuk mengekalkannya.

Dia mempamerkan kebolehannya sepanjang dipinjamkan ke Stadium Emirates dalam baki saingan musim lalu selepas khidmatnya kurang dipedulikan di bawah kendalian Zinedine Zidane sejak dipancing pada 2015.





Pemain lincah itu tampil dalam 14 perlawanan Liga Perdana Liga Inggeris (EPL) dengan merakamkan dua gol dan satu bantuan jaringan selain mencipta 20 lagi peluang berharga untuk rakan sepasukannya.

Pelantikan semula Carlo Ancelotti seakan membawa sinar baru buatnya di Santiago Bernabeu dengan Odegaard dijangka akan kembali menyertai latihan pra-musim di ibu kota Sepanyol itu.

"Saya berstatus pemain Madrid dan saya akan kembali dan bermula di sana dalam masa seminggu setengah lagi," katanya kepada TV2 di negara asalnya, Norway.

"Real Madrid sudah menjelaskan bahawa mereka menginginkan saya kembali. Jadi, inilah masanya untuk melaporkan diri bagi memulakan latihan."

Selepas beberapa musim dipinjamkan ke beberapa negara, Odegaard menegaskan dia tetap bercita-cita untuk berjaya di Madrid.

"Sudah tentu, adalah menjadi impian saya untuk beraksi di sana (di Santiago Bernabeu). Saya telah berada di kelab ini lebih dari enam tahun dan ia sentiasa menjadi matlamat utama saya," katanya.

Ditanya apakah dia sudah bercakap dengan Ancelotti, dia menjawab: "Tidak, bukan secara peribadi tetapi saya kerap bercakap dengan pihak kelab dan berdialog rapat.

"Mereka mempunyai gambaran menyeluruh yang menarik. Seperti yang sering saya katakan, saya mahu beraksi dengan kerap."