Pemain veteran, Nor Norshahrul Idlan Talaha, masih belum memasang niat untuk menggantungkan but daripada skuad kebangsaan dalam masa terdekat.

Menurut pemain berusia 36 tahun itu, dia masih memiliki kemahuan tinggi untuk berada dalam skuad kebangsaan selain percaya mampu untuk menyumbang kudrat sekiranya dipilih bersama Harimau Malaya.

Bagaimanapun, Nor Shahrul Idlan, atau lebih dikenali sebagai Mat Yo, mengakui mengakui masalah untuk mendapatkan minit permainan susulan konflik yang sedang dihadapi Melaka United, di mana ia sedikit sebanyak memberikan kesan kepada peluangnya untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan.

“Saya masih mahu bersama skuad kebangsaan sekiranya mendapat panggilan. Ini kerana kalau diberikan peluang, saya akan pergi kerana percaya boleh bantu pasukan kebangsaan.

“Apapun, perkara itu semua saya serahkan kepada jurulatih untuk buat keputusan. Seperti kita tahu sekarang ini dengan masalah Melaka United jadi agak susah untuk saya tunjuk prestasi yang sebenar,” katanya ketika ditemui media hari ini.

Untuk rekod, Mat Yo, yang mewakili Malaysia sejak 2007, telah mengumpul sebanyak 81 penampilan selain menyumbat 14 gol sepanjang kariernya bersama pasukan kebangsaan.

Dalam pada itu, Mat Yo, ketika ditanya berkenaan cadangan untuk meminjamkan pemain kelab itu ke pasukan yang akan bertanding dalam Piala Malaysia 2022, nyata bersetuju dengan saranan berkenaan.

“Kalau MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) membenarkan cadangan itu, bagi saya ia satu perkara yang baik kerana secara tidak langsung akan memberikan peluang untuk pemain Melaka beraksi di pentas tersebut.

“Bagi saya, ia cadangan yang baik buat pemain tetapi untuk kelab (saya) tak tahu. Jadi harap kelab dapat buat tindakan yang betul,” ujarnya.

Kredit: Sinar Harian