Pemain kacukan Finland-Malaysia, Nooa Laine, menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan dia dan bapanya meminta sejumlah wang sebagai syarat untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan.

Dalam satu kenyataan media yang dimuat naik ejen pemain tersebut, X-one Agency, di laman instagram memberitahu, berita berkenaan adalah tidak benar sambil menjelaskan situasi yang sebenar yang berlaku.

“(Adalah) menjadi impian Nooa untuk bermain bersama skuad kebangsaan dan mewakili negara kelahiran ayahnya suatu hari nanti.

"Bagaimanapun, Nooa tidak mempunyai pasport Malaysia memandangkan dia dilahirkan dan membesar di Finland.




“Ingin dijelaskan di sini bahawa Nooa tidak memerlukan pasport Malaysia untuk tujuan lain dalam hidupnya buat masa ini, melainkan hanya untuk membolehkannya beraksi bersama Harimau Malaya," kata kenyataan tersebut.

Dalam kenyataan yang sama, ejen pemain itu turut mendakwa maklum balas yang diterima daripada FAM tidak memberangsangkan kerana pihak tersebut tidak menunaikan janji dan bersikap kurang profesional dalam mengendalikan urusan Nooa.

“Untuk panggilan kebangsaan pertama pada April 2022, Nooa dan bapanya telah ke Malaysia bagi memulakan proses mendapatkan pasport yang mana FAM telah berjanji untuk menanggung kos perjalanan ke Malaysia. Bagaimanapun, ia tidak pernah dipenuhi.




“Bagi panggilan kebangsaan kali kedua pula, FAM yang menghubungi kami untuk memaklumkan Nooa tersenarai dalam skuad senior dengan syarat Nooa perlu menyelesaikan proses pemerolehan pasport.

“Jadi Nooa dan bapanya sekali lagi perlu ke Malaysia. Situasi itu menyaksikan Nooa terlepas salah satu perlawanan kelab terbesar musim ini dalam liga antarabangsa bagi tujuan tersebut,” ujarnya.

Kredit: Sinar Harian