Pemain berdarah campuran Malaysia-Finland, Nooa Laine, tidak akan bersama skuad B-23 negara dalam Sukan SEA Hanoi bulan depan sebaliknya dia berada dalam perandangan ketua jurulatih, Brad Maloney, untuk dipertaruhkan dalam Piala Asia B-23 di Uzbekistan, Jun depan.

Pemain tengah itu, yang kini sedang mewakili kelab divisyen 1 Liga Finland, SJK Seinajoki, turut pernah beraksi bersama skuad B-17 Finland pada 2018.

Maloney, ketika ditanya mengenai Laine, berbesar hati apabila pemain itu sudi turun berlatih bersama pasukannya dan akan meneliti prestasi pemain berkenaan.

"Amat bagus melihatnya berada di sini, kelabnya memberikan kebenaran untuk dia bercuti dan datang ke sini untuk membuat pasport bersama kami, di mana ia sesuatu yang hebat," kata Maloney kepada wartawan Nadi Arena, Fadhirul Shuhaimi.

"Kami mengambil peluang ini untuk dia menyertai sesi latihan kami, jadi bagi saya, ia satu situasi menang-menang.

"Kami dapat menilainya dan dia juga dapat mengekalkan kecergasannya bersama kami dan menunjukkan kemahirannya.

"Bagi saya, ia sesuatu yang menarik dan amat bagus untuk dia berada di sini," katanya.

Mengulas lanjut, Maloney menambah: "Saya fikir sudah terlalu lewat untuk Sukan SEA kerana pendaftarannya sudah tamat dan dia baru sahaja membuat pasportnya ketika ini tetapi sudah pasti kami akan melihatnya pada masa akan datang.

"Jika segala dokumennya dapat dilengkapkan pada waktu yang ditetapkan, ada kemungkinan dia dapat beraksi dalam Piala Asia.

"Kita masih tidak tahu tetapi amat baik untuk melihatnya berada di sini dan kami akan mencuba yang terbaik untuk memuktamadkannya dan apabila kami dapat melihat keadaan fizikal dan permainannya di sini, kami dapat menilai kualiti dan apa yang mampu ditawarkannya buat kami," katanya lagi.