Eddie Nketiah menandatangani kontrak jangka panjang dengan Arsenal dan akan menggunakan jersi nombor 14 yang pernah digunakan pemain legenda, Thierry Henry, di Stadium Emirates.

Graduan Akademi Hale End itu sepatutnya boleh berpindah secara ejen bebas pada penghujung musim 2021-22 tetapi berhasil menjadi tonggak utama pasukan bimbingan Mikel Arteta itu pada penghujung kempen Liga Perdana Inggeris (EPL).

Lima gol daripada tujuh perlawanan liga terakhir, yang memastikan Arsenal layak ke saingan Liga Europa musim depan, membuktikan betapa dia pemain yang layak untuk mewakili kelab itu.

Jersi nombor 14 yang akan dipakainya itu, kali terakhir disarung oleh bekas kapten, Pierre-Emerick Aubameyang, sambil Theo walcott merupakan satu-satunya pemain lain yang pernah menggunakan nombor berkenaan sejak Henry meninggalkan Arsenal untuk menyertai Barcelona pada 2007.

Arteta berkata dalam laman web rasmi pasukan itu: "Saya gembira Eddie kekal bersama kami. Dia mewakili apa sebenarnya kami dan seluruh nilai yang dimiliki kelab ini.

"Kami amat gembira dia telah melanjutkan kontraknya dan kini kami perlu memulakan tugas dan terus mengembangkan bakat besar yang kami miliki bersamanya."

Arsenal akan memulakan musim baru EPL dengan menentang Crystal Palace pada 5 Ogos depan.