Pengendali interim Selangor, Nidzam Jamil, berpuas hati dengan komitmen yang dipamerkan barisan pemain dalam kekalahan 2-0 kepada Terengganu FC saingan Liga Super, semalam.

Tetapi Nidzam berkongsi bahawa pemain-pemainnya harus lebih efektif kerana peluang untuk mencari gol dan menjaringkan gol adalah perkara yang berbeza.

"Saya berasakan Terengganu sangat beruntung memiliki pemain seperti Faisal Halim yang terlibat dalam dua jaringan mereka," kata Nidzam.

"Kami menukar beberapa perkara bagi separuh masa kedua, corak permainan lebih baik namun gagal mendapatkan jaringan. Bagaimanapun sentuhan jaringan pasukan harus dipertingkatkan lagi."

Manakala jurulatih skuad Terengganu FC, Nafuzi Zain, gembira mampu meraih tiga mata penuh dan meneruskan rekod kemenangan atas pasukan Selangor.

Walaupun beberapa tonggak pemain tidak diturunkan, skuad Terengganu tetap mempamerkan aksi yang memberangsangkan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pemain yang beraksi dan memastikan tiga mata. Kami harus menghadirkan disiplin dan taktikal yang tepat bagi perlawanan seperti ini," kata Nafuzi.