Pengurus Napoli, Maurizio Sarri, memberikan amaran kepada anak buahnya bahawa Nice bakal memberikan saingan sengit walaupun beraksi tanpa penyerang, Mario Balotelli.

Napoli bakal melayani kunjungan Nice hari ini dalam aksi pusingan pertama play-off Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan skuad kendalian Lucien Favre itu akan beraksi tanpa kelibat Balotelli serta pemain baru, Wesley Sneijder.

Sarri jelas gembira kerana tidak perlu memikirkan aksi Balotelli di atas padang, namun tidak menjangkakan laluan mudah.

“Nice agak berbahaya daripada segi kelajuan dan corak itu telah ditampilkan oleh mereka ketika menentang finalis Liga Europa musim lalu, Ajax.

“Saya mendengar bahawa orang ramai mengatakan Juventus menghadapi undian yang sukar pada musim lalu bersama Lyon tetapi Nice berjaya mencuri lebih mata dalam Ligue 1 berbanding mereka, jadi pasti ia merupakan sesuatu yang sukar,” kata Sarri.

“Ketiadaan Balotelli adalah satu kehilangan besar tetapi mereka masih memiliki Alassane Plea, Jean Seri dan Dante yang mampu memberikan ancaman dan masalah kepada kami,” tambahnya.

Napoli, yang disingkirkan oleh Real Madrid dalam pusingan kedua UCL musim lalu selepas menjuarai peringkat kumpulan, diundi bersama-sama Benfica, Besiktas dan Dynamo Kiev.