Ander Herrera yakin Neymar akan memenangi Ballon d'Or satu hari nanti selepas aksi cemerlang penggempur itu bersama Paris Saint-Germain (PSG) di permulaan musim berterusan.

Neymar menjaringkan gol kemenangan keduanya musim ini, dengan mengetuai PSG menewaskan Olympique Lyon 1-0 dalam aksi Ligue 1 semalam.

Penyerang itu dikaitkan dengan kepulangan ke Barcelona ketika jendela perpindahan lalu tetapi akhirnya kekal di Paris dan menyinar sejak kembali.

Herrera, yang tiba di PSG pada Julai lalu, percaya pemain Brazil itu merupakan pemenang Ballon d'Or pada masa depan.

"Saya berbesar hati beraksi bersama Neymar. Saya tidak akan bercakap mengenai jendela perpindahan yang dilalui," katanya kepada L'Equipe.

"Kini, Neymar bersama kami. Dia merupakan pemain hebat yang mampu memenangi Ballon d'Or pada musim ini atau akan datang.

"Kami sangat gembira dan saya berharap dia boleh meneruskan kecemerlangan."

Kemenangan PSG itu menyaksikan mereka kini tujuh mata mengatasi Lyon yang berada di tangga kesembilan liga walaupun hanya dibezakan tiga mata dengan Angers dan Nice.

Namun, Herrera menolak sebarang idea bahawa kejuaraan liga telah dimenangi oleh skuad kendalian Thomas Tuchel itu.

"Tidak, kami baru melalui enam perlawanan. Saya melihat kedudukan itu. Terdapat Rennes, Angers dan Marseille," tambahnya.

"Saya menghormati banyak pasukan dan lawan. Kami sentiasa beraksi dengan penuh hormat."