Penjaga gol Jerman, Manuel Neuer, berikrar akan kesediaannya mencurahkan segala kudrat selagi khidmat masih ditagih.

Posisi penjaga gol Bayern Munich itu masih belum tergugat menjelang Piala Dunia Qatar hujung tahun ini tetapi dia enggan memikirkan terlalu jauh khususnya bagi kempen Euro 2024 pula.

Di sebalik tiada kepastian kukuh, Neuer tetap tidak menolak untuk kekal mewakili Die Mannschaft.

“Saya tidak mempunyai sasaran untuk 2024 atau mengintai peranan yang lama bersama pasukan kebangsaan Jerman,” katanya.

"Saya sering mengatakan bahawa selagi saya boleh membantu dan selagi saya sihat, kekal diperlukan dan berseronok, saya mahu terlibat.

“Saya sangat gembira untuk berada di sini bersama pasukan kebangsaan,” katanya yang dalam persiapan menentang perlawanan ujian dengan Israel, Ahad ini.

“Ia masih satu penghormatan besar buat saya walaupun telah berada di sini selama bertahun-tahun dan terbabit dalam banyak perlawanan.

"Saya gembira menjadi sebahagian daripada skuad ini. Selagi ia masih berlaku, saya mahu terus beraksi. Untuk itu, sudah pasti prestasi saya juga perlu setara."





Jerman merupakan juara Piala Dunia 2014 dan hajat untuk mengulangi detik manis itu akan terus dijadikan sandaran sambil Neuer percaya pasukan bimbingan Hansi Flick tersebut mampu mencabar.

“(Karier) kami akan diukur dengan trofi,” katanya mengenai objektif tahun ini.

"Itulah sebabnya hanya ada satu matlamat buat saya, iaitu memenangi Piala Dunia."

Neuer menyertai Bayern daripada Schalke pada 2011 dan memegang rekod tanpa bolos terbanyak dalam Bundesliga iaitu 210 perlawanan untuk mengatasi pencapaian Oliver Kahn (196) pada 2021.

Kontrak Neuer akan beraksi di penghujung musim depan takkala dia bakal mencecah usia 37 tahun, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai masa depannya bersama pasukan kendalian Julian Nagelsmann itu.

Malah, dia mendedahkan tiada sebarang perkembangan mengenai perjanjian baru bersama majikannya itu.