Manuel Neuer menegaskan Bayern Munich tidak boleh melakukan sebarang kesilapan ketika berdepan Augsburg dalam saingan DFB-Pokal.

Skuad kendalian Carlo Ancelotti melakar kemenangan ke atas PSV dan Borussia Monchengladbach untuk mengakhiri tiga perlawanan tanpa kemenangan tetapi Neuer berkata Bayern harus berwaspada jika mahu mempertahankan gelaran mereka.

"Setiap kesilapan akan menghukum anda dan ia akan menamatkan cabaran DFB-Pokal musim ini," kata Neuer. "Tetapi kami menyedari betapa penting buat kami menjejakkan kaki di Berlin untuk perlawanan final musim ini.

"Augsburg memberikan cabaran yang sukar buat mana-mana pasukan. Mereka bermain sebagai satu unit. Kami perlu buktikan kebolehan kami. Kami tidak berada di tahap yang terbaik kebelakangan ini dan harus kembali mencari rentak permainan kami.

"Saya benar-benar menikmati perlawanan bertemu Monchengladbach. Kami mengawal sepenuhnya perlawanan. Bagaimanapun, ini merupakan satu era baru buat Bayern bersama Ancelotti. Kami mahu memastikan tiada kesilapan akan dilakukan untuk perlawanan akan datang.

Neuer mempunyai beberapa pandangan mengenai Renato Sanches selepas pemain kebangsaan Portugal itu memenangi Anugerah Pemain Muda Terbaik Eropah dan memuji sikap positif pemain itu di dalam bilik persalinan.

"Sanches mudah mesra dengan pemain-pemain dari Sepanyol dan Amerika Selatan.

"Mereka membantunya dengan terjemahan. Tetapi dia mengambil pelajaran bahasa Jerman dengan baik. Dia bersikap terbuka dan bersedia untuk belajar.

"Anda dapat melihat bahawa dia masih muda dan memiliki bakat yang besar. Kami sangat gembira dengan kejayaannya meraih anugerah tersebut."