Jurulatih sementara Selangor, Nazliazmi Nassir, tidak berhadapan masalah jika benar hasrat pengurusan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) memutuskan Rusdi Suparman sebagai pengganti bekas jurulatih Selangor, P. Maniam.

Walaupun berjaya memastikan slot suku akhir Piala FA tidak terlepas susulan menafikan hak Terengganu, itu belum cukup untuk meletakkan Nazliazmi sebagai calon utama.

Malah, perkhabaran yang menyebut nama Rusdi sebagai bakal ketua jurulatih Gergasi Merah yang baru jelas membawa maksud sentuhan Nazliazmi masih dalam penilaian FAS sebelum diketengahkan sebagai pengendali utama.

Nazliazmi tidak berkecil hati, malah dia menyambut baik jika itu hasrat FAS demi kepentingan bola sepak Selangor.

"Semestinya keutamaan perlu diberikan terhadap pasukan.

"Rusdi bukanlah asing bersama pasukan Selangor kerana dia pernah membimbing skuad Piala Presiden pada 2013 dan saya merupakan penolongnya pada waktu itu," ujarnya.

Nazliazmi masih belum menerima sebarang makluman daripada FAS berkenaan perancangan baru skuad itu, malah persediaan menghadapi Kuala Lumpur bagi pusingan pertama Piala FA berjalan seperti biasa.

"Ini perlawanan 'derby', kedua-dua pasukan mempunyai sejarah tersendiri dalam Piala FA.

"Saya dapat rasakan pertemuan pertama pasti sengit.

"Kuala Lumpur pasti akan turun sehabis baik, rekod kemenangan ke atas mereka dalam kempen liga bukanlah ukuran sebenar," katanya lagi.