Nasib Zainal Abidin Hassan selaku ketua jurulatih Melaka United akan ditentukan minggu depan, demikian disahkan ketua pegawai eksekutif pasukan itu, Datuk Mohd Saiful Md Sapri.

Prestasi tidak menentu yang dipersembahkan skuad Hang Tuah itu musim ini meletakkan Zainal Abidin dalam tekanan.

Terbaru, Melaka gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk diikat tanpa jaringan ketika melayani kunjungan Petaling Jaya City FC semalam.

Keputusan itu menyaksikan mereka terperosok di tangga ke-11 Liga Super selepas hanya mengutip 11 mata daripada 13 perlawanan.

"Secara keseluruhan saya memang amat tidak berpuas hati dengan perlawanan pada malam ini, kami berada dalam zon yang tidak begitu selesa.

"Apapun, keputusan sama ada Zainal akan kekal atau tidak akan diputuskan minggu depan, Insya-Allah selepas sambutan Hari Raya," kata Saiful kepada wartawan Nadi Arena, Izwan Mohd Nor.

Dalam pada itu, rombakan turut akan berlaku membabitkan barisan pemain apabila dua penyerang import Melaka akan digugurkan bagi mengintai khidmat pemain tempatan secara pinjaman.

"Setakat ini kami akan menukar dua pemain import. Dua penyerang itu akan digugurkan kerana kami nampak mereka memang tidak begitu berkesan di jentera serangan.

"Kami masih berbincang dengan pihak JDT (Johor Darul Ta'zim) untuk meminjam pemain tengah kerana kami lihat bahagian tengah kami tidak begitu mantap.

"Ia masih dalam perbincangan dan Insya-Allah, kami akan mendapat keputusannya minggu depan," tambahnya.