NAPOLI 2 CAGLIARI 0

Ketua pasukan Napoli, Lorenzo Insigne, menekankan bahawa pendahulu Serie A itu tetap berpijak di bumi yang nyata di sebalik permulaan sempurna musim ini.


Insigne turut memahat nama selaku penjaring ketika Napoli -- yang belum pernah menjulang Scudetto sejak 1990 -- melakar enam kemenangan liga ketika menundukkan Cagliari 2-0 di tempat sendiri, awal pagi tadi.

Bintang Napoli, Victor Osimhen, membuka tirai jaringan pada minit ke-11 sebelum Insigne menggandakan kedudukan menerusi sepakan penalti sebaik 12 minit memasuki babak kedua.

Skuad kendalian Luciano Spalletti itu telah memenangi kesemua perlawanan awal mereka setakat ini untuk mengulangi pencapaian 2017-18, namun Insigne menegaskan mereka tidak akan terbawa-bawa.

"Kami bermula dengan baik tetapi kami harus terus menundukkan kepala, berpijak di bumi yang nyata kerana perjalanannya masih panjang," katanya kepada DAZN sambil Napoli dipisahkan dua mata dengan Milan.

"Ini satu perasaan yang luar biasa (dengan peminat), saya berusaha menikmatinya dan membayar semua orang melalui persembahan saya dan membantu pasukan memenangi perlawanan."




Napoli mengekalkan rekod tanpa bolos dalam tiga perlawanan Serie A berturut-turut buat pertama kalinya sejak Februari 2019.

Dalam masa sama, Osimhen setaraf dengan penyerang Real Madrid, Karim Benzema, untuk muncul sebagai penjaring paling berbisa sepanjang bulan ini dalam kalangan lima liga utama Eropah.

"Jurulatih mahu kami menikmati diri sendiri ketika kami beraksi," kata Insigne.

"Sebagai kapten, saya hanya boleh mengatakan kami perlu terus berada di atas landasan tepat kerana musim lalu kami terlepas Liga Juara-Juara, jadi kami perlu menebusnya.

"Kami cuba bermain dengan gaya bola sepak Spalletti, dia tahu kami kecewa hanya berada dalam Liga Europa dan dia "berusaha menjulang kami."