Julian Nagelsmann menolak sebarang spekulasi bahawa penyisihan Thomas Muller dalam kesebelasan utama ketika berdepan RB Leipzig memberi bayangan bahawa masa depan penyerang Bayern Munich itu dalam keadaan tidak menentu.

Muller masuk pada minit ke-83 ketika Bayern seri 1-1 dengan Leipzig, Sabtu lalu.

Pemain berusia 33 tahun itu bergelut dengan kecederaan musim ini dan hanya tampil dalam sembilan perlawanan Bundesliga.

Muller juga gagal menyerlah dalam Piala Dunia di Qatar yang menyaksikan Jerman tersingkir di peringkat kumpulan.

Nagelsmann, bagaimanapun, berkata media telah terlalu banyak mencetuskan tanda tanya ketika Muller diturunkan sebagai pemain gantian.

"Berkenaan tentang Thomas, ia menjadi topik yang lebih besar dalam khalayak ramai berbanding pasukan," katanya kepada pemberita menjelang pertembungan dengan Koln, awal pagi esok.





ÔÇťApabila anda tercedera untuk sekian lama, anda sentiasa perlu bersaing merebut tempat.

"Thomas juga mahukan persaingan seperti itu. Dia mempunyai karakter yang cemerlang, tetapi saya belum membuat keputusan sama ada dia diturunkan atau pun tidak."

Muller tidak dapat membantu Bayern untuk mengatasi Leipzig, malah juara bertahan itu bergelut untuk mencipta peluang dalam separuh masa kedua di Red Bull Arena.

Justeru, Nagelsmann menagih keamatan yang lebih baik di bahagian serangan.

Dia berkata: "Kami tidak membina serangan secara optimum, ia terlalu perlahan. Kadang-kadang kami beraksi dengan baik selepas memenangi bola tetapi kemudian kami membuat keputusan yang salah.

"Saya juga telah memberi amaran kepada pasukan mengenai kekuatan Leipzig dalam serangan balas.

"Terdapat satu atau dua situasi yang kurang sempurna di kedua-dua belah pihak."