Julian Nagelsmann berminat seandainya Bayern Munich mengekalkan khidmat dua pemain berpengalaman, Robert Lewandowski dan Thomas Muller.

Dua pemain itu menjaringkan lima gol Bayern ketika membelasah Salzburg 7-1 dalam perlawanan kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Arena Allianz awal pagi tadi.

Selepas terikat 1-1 di Austria tiga minggu lalu, Bayern mempamerkan aksi hampir sempurna untuk selesa berada di depan hasil gol hatrik terpantas dalam sejarah UCL yang dilakukan Lewandowski pada minit ke-23.

Pemain kebangsaan Poland itu menjaringkan dua sepakan penalti selepas dikasari Maximilian Wober sebelum menggunakan ketinggiannya untuk memberikan Bayern kelebihan selesa.

Serge Gnabry kemudian menjaringkan gol keempat Bayern sebelum separuh masa manakala Muller pula menjaringkan dua gol yang mengapit jaringan sagu hati Maurits Kjaergaard dalam babak kedua.

Leroy Sane melengkapkan hari gemilang Bayern dengan gol ketujuh pada lewat permainan untuk menghantar pasukan gergasi Bundesliga itu ke suku akhir buat kali ke-20 sepanjang sejarah penyertaan mereka -- rekod tertinggi berbanding mana-mana kelab.

Kontrak Lewandowski dan Muller -- yang enggan menjawab persoalan mengenai masa depan mereka dalam sidang media selepas perlawanan itu -- akan tamat pada penghujung musim depan dan Nagelsmann berharap kesepakatan baru buat kedua-dua pemain itu dapat dicapai di Arena Allianz.

"Ia bukan berdasarkan pandangan peribadi saya tetapi ia berdasarkan bola sepak profesional. Saya mahu kedua-duanya terus berada dalam pasukan ini," kata Nagelsmann.

"Mereka mempunyai sinergi yang hebat dan saya mempunyai hubungan yang baik dengan mereka dan mereka memenuhi idea saya, jadi usaha saya dapat dilaksanakan.

"Saya lebih daripada gembira untuk mengekalkan mereka dan berharap mereka juga berfikiran sama," katanya.