Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain, kecewa dengan prestasi gandingan dua penyerang import pasukannya, Kpah Sherman dan Tchetche Kipre, sewaktu terikat tanpa jaringan dengan Negeri Sembilan FC dalam perlawanan Liga Super di Gong Badak semalam.

Kekecewaan itu bukanlah berlandaskan emosi semata-mata tetapi ia berdasarkan deretan peluang keemasan yang diperoleh mereka, di mana kesemuanya gagal menemui sasaran

Lebih menggusarkan, kedua-dua pemain itu juga seakan-akan sedang melalui kejatuhan prestasi apabila gagal menjaringkan gol dalam empat perlawanan berturut-turut.

"Kami sudah bermain dengan baik malam ini," katanya dalam sidang media seperti yang dipetik Nadi Arena.

"Dengan keadaan padang basah selepas hujan lebat, secara keseluruhannya boleh dikira baik, cuma kekurangan kami adalah tidak dapat meletakkan bola di dalam gawang.

"Kita tahu untuk menjaringkan gol bukan mudah, kami perlu mencipta banyak peluang untuk mendapatkan peluang dan sekiranya ada peluang, terutama ketika berdepan pasukan yang amat bagus, kami perlu menggunakan setiap peluang yang ada.

"Terlepas peluang boleh terjadi kepada mana-mana penyerang, jadi di situlah kekurangan kami.

"Kami perlu memperbaikinya menjelang perlawanan yang akan datang.

"Jika kami dapat menjaringkan gol, permainan kami akan menjadi sempurna," katanya.