Ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain, runsing dalam usaha memberikan kemenangan pertama skuad Peteh dalam kancah Piala Malaysia 2019 setelah dihantui senarai panjang kecederaan pemain menjelang pertemuan dengan PKNS FC, malam ini.

Pengendali itu memikul beban besar dalam usaha memastikan finalis Piala Malaysia 2018 itu mencipta kemenangan di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Bukan sahaja terpaksa melupakan kapten, Lee Tuck, yang menjalani penggantungan ekoran kad merah sewaktu aksi terakhir Liga Super menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) bulan lalu, masalah kian bertambah buat Nafuzi setelah beberapa tonggak masih belum cergas sepenuhnya.

"Sekarang kami tiada banyak pilihan di tengah. Thierry Chantha Bin masih cedera manakala Ashaari Samsudin belum mencapai tahap kecergasan sepenuhnya. Mungkin kami akan gandingkan pemain lain," katanya.

Dalam masa sama, dia juga mengesahkan awang import, Serhii Andrieiev, kekal memperkuatkan benteng skuad utama Terengganu dalam kancah Piala Malaysia.

Sebelum ini, pemain dari Ukraine itu dipinjamkan daripada Terengganu FC II (TFC II) untuk menghadapi perlawanan terakhir Liga Super, namun nasibnya masih tidak dapat diputuskan oleh Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) memandangkan majikannya juga memerlukan khidmatnya untuk mempertahankan kejuaraan Piala Cabaran yang bermula Selasa ini.

"Hanya Andrieiev yang kami gunakan. Walaupun ada pemain lain yang boleh diserapkan, kami perlu bijak gunakan kuota yang ditetapkan berdasarkan keperluan semasa."