Pertahanan Real Madrid, Nacho Fernandez, dijangka akan berehat panjang selepas mengalami kecederaan medial collateral ligament (MCL).

Madrid mengesahkan kecederaan itu selepas terikat 2-2 dengan Club Brugge dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah di Santiago Bernabeu awal pagi tadi.

Nacho digantikan dalam waktu rehat selepas mengadu sakit di lutut kanannya.

"Berdasarkan ujian yang dijalankan Sanitas Real Madrid Medical Services terhadap Nacho Fernandez, dia didiagnosis mengalami kecederaan MCL di lutut kanannya,

"Proses pemulihannya akan terus dipantau," kata satu kenyataan yang dikeluarkan.

Pengesahan terhadap kecederaan Nacho itu tiba selepas skuad kendalian Zinadine Zidane berkenaan bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat lawan dari Belgium itu.

Madrid melakar sejarah terburuk apabila buat kali pertama dibolosi sekurang-kurangnya dua gol dalam tiga perlawanan berturut-turut di laman sendiri selepas tewas kepada Ajax (4-1) dan CSKA Moscow (3-0) musim lalu.

Ketua pasukan, Sergio Ramos, dan Casemiro menjadi penyelamat Madrid dalam babak kedua dan Zidane berkata: "Kami memaparkan aksi buruk dalam babak pertama, permulaan yang amat buruk dalam lima minit pertama dan mereka terus menyukarkan hidup kami.

"Kami tidak dapat mengawal apa-apa aspek dalam perlawanan dan babak kedua adalah kisah yang berbeza apabila kami mengubah corak permainan.

"Apa yang paling penting buat saya ialah reaksi yang ditunjukkan pemain kerana merekalah yang mengubah perlawanan ini.

"Hanya itu yang saya ambil kira," katanya.