Memphis Depay tidak akan menyertai Inter Milan daripada Barcelona dalam jendela perpindahan bulan ini, demikian kata peguam pemain itu.

Pemain kebangsaan Belanda berkenaan dijangka akan meninggalkan Barca bulan ini dengan Inter antara pasukan yang berminat untuk menandatanganinya.

Selepas ketibaan Robert Lewandowski, Depay berdepan kesukaran untuk dibariskan dalam kesebelasan utama Barca, di mana dia hanya memulakan dua perlawanan LaLiga musim ini.

Peguam Depay, Sebastian Ladure, bagaimanapun, menafikan pemain berusia 28 tahun itu, yang turut dikaitkan untuk menyertai Atletico Madrid, akan ke San Siro dalam masa terdekat ini.

"Tiada perbincangan untuk Memphis menyertai Inter," katanya kepada Fabrizio Romano.

"Saya boleh menafikan kesemua perkhabaran ini, ia tidak memungkinkan untuk kami mengadakan perbincangan itu."

Bekas penyerang Lyon dan Manchester United itu menyertai Barca pada 2021 dan merupakan pemain simpanan yang tidak diturunkan ketika mereka menewaskan Real Madrid 3-1 dalam final Supercopa de Espana awal pagi semalam.