KELANTAN 0 SELANGOR 1

Hajat tuan rumah, Kelantan, mara ke final lebur apabila tunduk 0-1 kepada Selangor dalam separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Bawah 15 (B-15) Tahun di Padang SMK Kubang Kerian 3, petang tadi.


Dalam babak pertama, kedua-dua pasukan menyajikan aksi terbaik untuk mencari gol pembukaan, namun kecekapan penjaga gol dan benteng pertahanan menyukarkan jaringan terhasil.

Dalam separuh masa kedua, skuad Merah Kuning hampir mendapatkan gol pendahuluan hasil sepakan sudut tetapi tandukan Ahmad Taufik Lukman terkena palang pada minit ke-60.

Selangor mengesahkan kemaraan ke final apabila Muhammad Hafiz Haiqal Hafizatul Akmal menggelecek dua pertahanan tuan rumah sambil melepaskan rembatan lencong yang menewaskan penjaga gol Kelantan, Dzarif Idzham Ramli, pada minit ke-67.

Penyerang Kelantan, Muhammad Najib Mohd Shukri, melepaskan peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan apabila rembatannya melambung melepasi palang biarpun penjaga gol Selangor sudah tertewas dalam masa kecederaan.

Jurulatih Selangor, Mat Dinos Talib, gembira dengan aksi yang ditunjukkan anak buahnya sambil mengakui Kelantan memberikan cabaran yang sengit dan hampir mengheret mereka ke masa tambahan.

"Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada kami dan kedua-dua pasukan telah mempamerkan aksi yang mantap dan menghiburkan penonton.

"Kami lupakan kejayaan petang ini kerana pagi esok kami akan memberi sepenuh perhatian untuk aksi akhir," katanya.

Sementara itu, skuad Hobin Jang Hobin mencipta kejutan dengan mengalahkan juara bertahan, Johor, menerusi sepakan penalti 5-4 selepas terikat tanpa jaringan dalam masa penuh perlawanan.

Keputusan separuh akhir:

NEGERI SEMBILAN 0 JOHOR 0
(Negeri Sembilan menang penalti 5-4)