Pulau Pinang mencipta kejutan apabila menumpaskan juara bertahan, Johor, 1-0 dalam aksi ketiga Kumpulan A, Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) B-15 di Padang Pasukan Gerakan Am (PGA), Pengkalan Chepa, hari ini.

Kemenangan tipis itu, hasil jaringan Mohammad Faris Dinie Mohammad pada minit ke-26, sudah cukup untuk membawa skuad Harimau Kumbang itu ke suku akhir sebagai naib johan kumpulan dengan lima mata.

Ketua jurulatih Pulau Pinang, Mohd Zabidi Othman, gembira dengan prestasi pemainnya, yang mengatasi cabaran sengit skuad kendalian Md Nizam Tramiji itu.

"Alhamdulillah, pemain beraksi dengan semangat juang yang tinggi dan berjaya mencari kemenangan penting untuk layak.

"Insya-Allah, kami akan baiki segala kelemahan yang ada selepas ini dan berusaha meningkatkan prestasi untuk mara sejauh mungkin dalam kejohanan kali ini," katanya.

KEPUTUSAN LAIN B-15:

KUALA LUMPUR 3 PAHANG 3
PERLIS 1 SABAH 0
NEGERI SEMBILAN 1 TERENGGANU 0