Juara Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) 2019, Selangor, yang kini dijenamakan sebagai Selangor MAC tarik nafas lega apabila bakal menurunkan 16 pemain terbaik di Korat, Thailand, bagi kempen Piala Futsal AFF, Isnin ini.

Begitupun, perjalanan mereka ke Thailand dibayangi dengan perkhabaran kurang enak apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pembatalan saingan liga musim ini.

Ia mencetuskan kekecewaan buat penyandang juara itu memandangkan ini merupakan tahun kedua berturut-turut liga terpaksa dibatalkan penganjur kerana penularan COVID-19.




"Sudah tentu sebaik mendapat surat daripada FAM, kami berasa sedih, dukacita dan kecewa sebab pasukan kami tidak pernah berhenti untuk menjadi satu pasukan.

"Daripada segi latihan kendiri secara berterusan telah dibuat oleh pemain-pemain. Fokus kami AFF dahulu, itulah yang semai kepada pemain-pemain, kami fokus satu persatu kejohanan terlebih dahulu.

"Esok kita tidak tahu apa yang akan berlaku, mungkin FAM akan mempertimbangkannya semula kerana masih ada masa.

"Jadi kami tidak boleh membiarkan emosi kami terganggu," kata pengurus Selangor MAC, Mimi Afzan Afza.